Otomen belum pernah dapat mana-mana jemputan besar sebelum ini. Pada hujung minggu lalu di Putrajaya bersamaan 05 Mac 2017, telah berlangsungnya satu aktiviti terbesar dunia iaitu “Powerman Asia Duathlon Championship Malaysia 2017“.
Powerman merupakan satu platform untuk para peserta diuji ketahanan fizikal dan mental bagi meningkatkan pencapaian dan penguasaan dalam dua bidang sukan iaitu berlari dan menunggang basikal (Run-Bike-Run) secara serentak.
Di kejohanan tersebut menampilkan jaguh Malaysia, Jason Loh dalam kategori elit manakala atlet kebangsaan, Mohd Sabki Ariffin bertanding di kategori Individual Short.
Di sesi pendaftaran, otomen dapat lihat betapa ramainya yang ingin menyertai kejohanan Powerman Asia ini. Sungguh meriah sekali. Lebih kurang seramai 3500 orang telah mendaftarkan diri bagi merebut gelaran juara Powerman Asia Duahtlon Championship Malaysia 2017 itu.
Seawal jam 6.00pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk beraksi di litar perlumbaan. Kelihatan ramai peserta dan tidak kurang juga pengunjung yang memberi sokongan padu pada peserta. Sesudah menunaikan Solat Subuh, otomen pula beraksi untuk merakam detik gambar-gambar semasa acara dilakukan. Sekitar laluan di Perbadanan Putrajaya ditutup bagi memudahkan acara perlumbaan ini dijalankan dengan sempurna.
Juara berturut-turut, Thomas Bruins dari Belanda sekali lagi berjaya menjadi juara Powerman Asia Duathlon Championship Malaysia 2017 dengan catatan masa perlumbaan 02:33:57 bagi kategori lelaki elit (10km Run – 60km Bike – 10km Run). Diikuti pula, Annamaria Eberhardt-Halas dari Hungary dengan catatan masa 02:52:05 menjadi juara bagi kategori elit perempuan. Ini merupakan kemenangan ketiga Bruins dalam siri Powerman tahun ini setelah mendapat gelaran di Powerman Thailand (sulung) dan Powerman Indonesia.
Pada hari sebelumnya iaitu 04 Mac 2017, buat pertama kalinya diadakan perlumbaan Powerkids untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun. Telatah dan gelagat kanak-kanak kecil juga dapat disaksikan bagaimana mereka berusaha untuk merebut juara Powerkids – Powerman Asia Duathlon Championship Malaysia 2017.
Program Powerkids ini telah dianjurkan oleh E-Plus Global Sdn Bhd bertujuan memupuk dan membangunkan lebih ramai lagi atlet dalam pelbagai bidang sukan di Negara ini.
Lebih 200 kanak-kanak menyertai Cabaran Powerkids 2017 kali ini. Suasana yang begitu meriah melihat gelagat anak-anak kecil bila masuk bertanding. Mereka juga diagihkan kepada beberapa kategori bagi mengadili pertandingan mengikut umur.
Kategori Perempuan 11 – 14 tahun
Kategori Perempuan 8 – 10 tahun
Powerman Asia Duathlon Championship ini akan terus melonjak naik di persada dunia bagi menarik lebih ramai untuk kekal sihat dan cergas dengan aktiviti sukan yang dilakukan.
Powerman Asia Duathlon Championship – Malaysia 2017 dianjurkan oleh E-Plus Global Sdn Bhd dan dibenarkan oleh Triathlon Gabungan Asia (ASTC), International Powerman Association. Akhir kata, “Majulah Sukan Untuk Kesihatan Diri dan Bertenaga“.